PPKI TOK LELA



Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK DATO` SERI MAHARAJA LELA, Kg Gajah, Daerah Perak Tengah ( Bahagian Pendidikan Khas KPM) yang lebih dikenali sebagai PPKI Tok Lela telah ditubuhkan pada sekitar tahun 2008. Guru yang bertanggungjawab membuka program ini ialah Puan Aizah bt Maad (penyelaras PPKI Tok Lela sehingga 2015) yang mempunyai pengalaman meluas dalam bidang ini. Kini (2015) PPKI Tok Lela telah mencatat bilangan murid seramai 25 orang. Terdapat 4 orang guru dan seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM). 


Murid-murid di PPKI TokLela terdiri daripada pelbagai kategori kelainan upaya seperti slow learner, autisma, down sindrom dan lain-lain lagi. murid-murid ini berumur lingkungan 13 tahun hingga 19 tahun. Kesemua daripada mereka menetap di kawasan berhampiran dengan sekolah seperti di sekitar pekan Kg Gajah, Pasir Salak, Sungai Galah, Pasir Kubu dan Pulau Tiga Kiri. Pada awalnya, PPKI Tok Lela membuka tiga buah kelas yang dikenali sebagai Satria, Waja dan Wira untuk mengkategorikan murid mengikut keupayaan kognitif dan psikomotor secara keseluruhannya. Walaubagaimanapun sejajar dengan penambahan murid pada tahun 2015, kelas keempat iaitu kelas Inspirasi telah dibentuk dan beroperasi pada tahun yang sama. Alhamdulillah, selepas peningkatan naik taraf kelas tersebut, PPKI Tok Lela berjaya menyediakan setting suasana yang kondusif bagi keperluan dan keselesaan mereka.

            Pada tahun 2016, bilangan pelajar yang berdaftar telah meningkat  kepada jumlah seramai 36 orang. Kebanyakkan pelajar ini berasal dari SK Dato' Sagor dan SK Changkat Tin. Terdapat juga pelajar dari SK Lambor Kanan dan sekolah aliran perdana. Berikutan penambahan yang besar ini, kelas PPKI telah bertambah dari empat buah kepada lima buah kelas. Kelas kelima dikenali sebagai Juara. Kekuatan tenaga pengajar dan PPM seramai 8 orang (guru termasuk PKPK) dan dua orang (PPM).

             Terkini, catatan pelajar terbaru pada tahun 2019 ialah seramai 41 orang. Manakala jumlah tenaga pengajar ialah 10 orang termasuk PKPK dengan dibantu oleh tiga orang PPM.



PPKI Tok Lela melihat kejayaan dan kebergantungan murid dalam semua bidang. Hal ini bermaksud tumpuan pembelajaran bukan hanya pada sesuatu bidang sahaja, tetapi menyeluruh. Oleh sebab itu PPKI Tok Lela berusaha memantapkan program kebitaraan dalam bidang Akademik Kemahiran dan Kesenian. Pada jangka masa akan datang, PPKI Tok Lela berusaha memajukan dan membitarakan murid-murid dalam bidang sukan dan akademik berfungsi demi melahirkan murid istimewa yang luar biasa.

Batik adalah salah satu program kebitaraan yang difokuskan di PPKI Tok Lela. Program ini bermula sejak tahun 2014 dan dimulakan oleh Penyelaras Program, Pn Aizah Maad dan Guru PPKI iaitu En. Ikram Abu Hassan yang berusaha melatih dan menggiat murid-murid di sini untuk memartabatkan seni batik. Antara murid yang berjaya menyirna ialah Mohammad Irfan bin Salim yang kerap kali melibatkan diri dengan pertandingan, demostrasi dan pameran berkaitan Batik. 

Program KSSM Asas Makanan bermula pada tahun 2017 apabila KPM memperkenalkan KSSM dalam PPKI. PPKI Tok Lela telah memilih satu bidang akademik iaitu Asas Masakan sebagai mata pelajaran wajib KSSM. Pada tahun 2017, sebuah kelas (Satria) dipilih untuk menjalani KSSM Tingkatan 1. Beberapa kursus telah mereka ikuti terutama dengan kerjasama Kolej Komuniti Pasir Salak (KKPS) sebagai salah satu aktiviti sepanjang tahun yang wajib diikuti oleh murid-murid kelas ini. Antara menu/makanan singnature yang telah ditempa oleh murid-murid ini ialah Kuih Muih Tradisional seperti Nona Manis, Burger Malaysia, Donut Tradisional dan Donut Berperisa. Kelas ini turut menghasilkan jenis makanan yang berasaskan roti. Hasil kerja keras guru-guru yang terlibat, kelas ini telah berjaya menghasilkan produk yang berkualiti sehingga diangkat sebagai salah satu program kebitaraan.

Tarian Dabus ialah sejenis tarian tradisional yang terkenal dalam kalangan penduduk Negeri Perak. Tarian ini dipercayai berunsur keagamaan dan diselitkan dengan kesenian. Oleh sebab sekolah ini terletak di negeri Perak, maka PK Pend. Khas Tok Lela, Pn. Azizan Soid telah melihat hal ini sebagai ilham untuk menjadikannya sebagai salah satu program kebitaraan. Pasukan Tarian Dabus ini telah membuat persembahan rasmi di beberapa majlis di sekolah mahupun luar sekolah. 
Walaupun mempunyai beberapa kekangan dari segi peralatan, masa dan tenaga pengajar, tidak mustahil untuk PPKI Tok Lela membentuk sebuah pasukan tarian yang mantap.